Mahk4mah Cad4ng K3s Sam4n Awal Ashaari, Scha Alyahya D’Haja Selesai Melalui Mediasi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mencadangkan supaya kes saman membabitkan pasangan selebriti Awal Ashaari dan isterinya Scha Alyahya dengan syarikat pembekal tekstil D’Haja (Malaysia) Sdn Bhd yang kini berada di peringkat rayuan, diselesaikan secara baik melalui proses mediasi, semalam.

Memetik laporan Bernama, D’Haja memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, yang membenarkan tuntutan saman Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari dan Scha, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir terhadap syarikat itu berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon keluaran pasangan terbabit.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, mewakili D’Haja memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar meminta supaya pihak-pihak terlibat berbincang untuk mencari penyelesaian terhadap kes tersebut.

“Proses mediasi akan dijalankan di Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan sekiranya pihak-pihak gagal mencapai penyelesaian, pendengaran rayuan D’Haja akan disambung semula pada 17 November ini,” kata peguam itu yang turut memaklumkan tarikh untuk mediasi akan ditetapkan kemudian.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan semalam untuk mendengar rayuan D’Haja bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang dibuat pada 27 Mac 2019.

Peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili pasangan suami isteri itu ketika ditemui pemberita turut mengesahkan terdapat cadangan daripada mahkamah supaya pihak-pihak cuba mencari jalan penyelesaian dan anak guamnya juga terbuka untuk menyelesaikan kes secara mediasi.

Sementara itu, Hasnal Rezua berkata anak guamnya memfailkan rayuan pada 3 April 2019 atas alasan Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika membenarkan tuntutan saman pasangan selebriti berkenaan.

Pasangan selebriti itu memperoleh ganti rugi RM345,305 selepas menang dalam saman mereka terhadap D’Haja berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon keluaran pasangan terbabit.

Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah turut memerintahkan defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10,000, faedah lima peratus bermula dari dari tarikh pemfailan sehingga pembayaran penuh serta kos RM5,000 kepada kedua-dua plaintif.

Mahkamah Sesyen juga membenarkan tuntutan balas difailkan D’Haja serta memerintahkan Awal dan Scha membayar RM55,000 selepas mendapati pasangan berkenaan memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi itu ke Brunei.

Dalam saman difailkan pada 30 April 2018, Awal dan Scha mendakwa mereka telah memasuki kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi Bleu dan Maroon dengan pembekal tekstil, D’Haja pada 11 Oktober 2016 selama dua tahun sehingga 10 Oktober 2018.

Bagaimanapun mereka mendakwa, D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma asas perjanjian selain gagal memulangkan 3,215 botol minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Page @KLM

Sumber: gempak

PERHATIAN: Pihak KLM tidak akan bertanggungjawap langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KLM juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawap anda sendiri.